Sabtu, 7 Disember 2013

MEMBELI RUMAH DARIPADA AGENSI HARTANAH BERDAFTAR


Jika anda sememangnya berminat dan bersedia untuk membeli rumah, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh perunding hartanah melalui agensi hartanah berdaftar. Agensi hartanah berdaftar adalah syarikat yang berdaftar dengan Lembaga Penilai Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH).
 
Anda boleh menyemak nama syarikat dengan memasukkan nombor pendaftaran Ejen Hartanah syarikat berkenaan ke laman sesawang LPPEH di www.lppeh.gov.my. Melalui laman sesawang tersebut anda boleh mencari nama syarikat, atau nombor pendaftaran yang diletakkan di kad perniagaan mereka.
 
Jika anda dapati di laman sesawang berkenaan, nama syarikat tersebut tidak wujud atau perunding hartanah itu tidak mewakili mana-mana syarikat, maka hendaklah anda berhati-hati kerana berkemungkinan anda sedang berurusan dengan broker.
 
Melalui perunding hartanah berdaftar, anda boleh meminta mereka mencarikan rumah yang memenuhi kriteria dan bajet anda. Perunding hartanah melalui jaringan perniagaan mereka akan cuba mendapatkan rumah berkenaan jika memenuhi kriteria dan bajet anda.

Perunding hartanah juga mampu untuk memberi nasihat kepada anda jika didapati bajet anda tidak mencukupi untuk membeli jenis rumah di kawasan diminta.
 
Berkenaan bayaran, perunding hartanah melalui agensi hartanah ini hanya dibenarkan mengambil yuran professional dari sebelah pihak sahaja samada penjual atau pembeli.

Oleh yang demikian, jika pihak penjual tidak membayar yuran professional mereka, ini bermakna anda sebagai pembeli yang akan membayarnya.
 
Selain daripada terus menghubungi perunding hartanah untuk meminta mencarikan rumah, anda juga boleh melayari dahulu laman sesawang syarikat agensi hartanah berdaftar berkenaan di mana mereka biasanya mempunyai beratus-ratus unit rumah untuk dijual.

Lagi besar agensi lagi banyak listingnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan